Misteri suara dari kubur
12 September 2006
Kubur misteri jadi tumpuan penduduk: ORANG ramai berkumpul melihat kawasan kubur di Kampung Sungai Keladi dekat Kota Bharu, Kelantan kononnya suara seorang perempuan mengilai dan menangis di situ yang tersebar sejak dua minggu lalu. Mereka mula berkumpul di sekitar tanah perkuburan itu sejak jam 11 malam dan jumlah pengunjung semakinramai selepas tengah malam, termasuk �mat rempit� yang membuat bising di tengah malam.
KOTA BHARU: Misteri kononnya suara seorang perempuan mengilai dan menangis di kubur Kampung Sungai Keladi di sini yang tersebar sejak dua minggu lalu, menjadikan kawasan itu tidak putus-putus dikunjungi orang ramai terutama pada tengah malam.
Mereka mula berkumpul di sekitar tanah perkuburan itu sejak jam 11 malam dan jumlah pengunjung semakin ramai selepas tengah malam, termasuk �mat rempit� yang membuat bising di tengah malam tanpa menghiraukan ketenteraman penduduk.
Malah minggu lalu, seorang penduduk turut membuat laporan polis mengenai penemuan sebuah lubang berhampiran tanah perkuburan itu mengeluarkan bau busuk, kononnya daripada mayat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suara misteri itu.
Bagaimanapun, selepas menggali lubang berkenaan, polis tidak menemui sebarang mayat atau petanda yang boleh mengaitkannya dengan suara misteri itu.
Polis sebaliknya percaya bau itu mungkin berpunca daripada kegiatan mengambil akar tumbuhan herba.
Penduduk kampung sebelum ini mendakwa suara nyaring dapat didengar bermula jam 12 tengah malam dan perlahan-lahan hilang menjelang Subuh.
Seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa beliau pernah mendengar suara mengilai di atas bumbung rumahnya, kira-kira seminggu lalu.
�Pada masa sama, saya mendengar bunyi seperti ada sesuatu berjalan di atas bumbung dan berhenti betul-betul di atas bilik tidur saya. Bagaimanapun, ia hilang menjelang Subuh,� katanya.
Pelajar, Azman Jusoh, 26, berkata dia dan tiga rakannya dari Melor mengunjungi kampung itu malam kelmarin, selepas mendengar pelbagai cerita mengenai suara misteri itu.
�Banyak cerita saya dengar mengenai suara perempuan mengilai dan menangis. Rakan saya juga heboh menceritakan kejadian ini. Jadi, saya cuma nak pastikan kebenarannya.
�Tak tahulah... mungkin betul agaknya. Sebab itu ramai orang datang ke sini,� katanya.
Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, yang dihubungi bagaimanapun menasihatkan penduduk supaya tidak taksub dan cepat mempercayai cerita misteri seumpama itu kerana ia boleh memesongkan akidah.
Sebaliknya, beliau berkata, umat Islam perlu merujuk ulama dan imam sebelum membuat sebarang andaian berkaitan makhluk halus.
�Makhluk halus memang wujud dan boleh menjelma dalam pelbagai bentuk. Sebagai manusia kita jangan taksub dan panik kerana ia menunjukkan kita seperti memberi pengiktirafan kepadanya.
�Sepatutnya masyarakat tidak cepat percaya apa saja yang berlaku. Mungkin ia hanya rekaan pihak tertentu. Selidik perkara itu terlebih dulu dan rujuk kepada imam dan ustaz di tempat mereka,� katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang berkunjung ke kawasan itu supaya menghormati adab dan peraturan di tanah perkuburan serta tidak membuat perkara tidak baik.
Berita Harian.
posted by Abu71 @ 16:45,