Musim Perayaan
01 October 2006
MENGAPA sesetengah harga barangan naik mendadak ketika musim perayaan.
Inilah keadaan yang sering berlaku pada musim perayaan. Antara alasan yang diberikan peniaga ialah permintaan meningkat. Ia antara alasan Persekutuan Penternak Malaysia apabila menaikkan harga ayam sebanyak dua kali dalam tempoh singkat.
Sepatutnya apabila permintaan meningkat, peniaga mengekalkan harga atau mengurangkan harga kerana dapat mengaut keuntungan besar. Selain itu, inilah masa peniaga mengaut keuntungan secara berlebihan, terutama barangan berkaitan perayaan seperti pakaian. Pengguna akan membeli-belah mengikut perasaan. Walaupun harga tinggi, mereka tetap beli.
Mungkinkah ada unsur manipulasi peniaga.
Memang ini yang berlaku. Peniaga cuba untuk memanipulasi harga bagi mendapat keuntungan lebih tinggi. Dalam kes Skim Kawalan Harga Musim Perayaan. Apabila kerajaan menetapkan harga siling bagi beberapa barang keperluan harian, peniaga meletakkan harga pada paras siling, sedangkan sebelum ini harga barang itu lebih rendah. Ia yang menyebabkan pengguna merungut kenaikan harga berlaku setiap kali skim kawalan harga dilaksanakan.
Begitu juga peranan orang tengah seperti pemborong. Orang tengah banyak menentukan harga sesuatu barangan. Peranan mereka perlu dikurangkan atau kalau boleh, dihapuskan terus. Dulu apabila pasar tani menjadi medan untuk petani memasarkan tanaman secara langsung kepada pengguna.
Sekarang, orang tengah pula mengambil alih. Sebab itu harga di pasar tani pun tinggi. Kementerian Pertanian dan Asas Tani wajar mengembalikan semula peranan pasar tani seperti asal.
Mengapakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kelihatan gagal mengawal keadaan ini berlaku hampir setiap kali musim perayaan.
Keadaan ini mungkin akibat undang-undang yang ada tidak banyak membantu kementerian untuk mengambil tindakan terhadap peniaga menaikkan harga barang, terutama barangan yang tidak dikawal harganya.
Peraturan mengikut Akta Kawalan Harga menetapkan peniaga menetapkan tanda harga. Bagi barang menerusi skim kawalan harga musim perayaan, perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu dan harga tidak boleh melebihi harga siling ditetapkan.
Bagaimanapun, bagi barang bukan kawalan, walaupun peniaga meletakkan tanda harga, tetapi harga mahal, itu tidak menjadi kesalahan. Ini yang menyebabkan Fomca meminta supaya Akta Perdagangan Adil digubal membolehkan peniaga yang menaikkan harga barangan untuk tujuan mengaut keuntungan dikenakan tindakan.
Apakah cadangan Fomca untuk mengelakkan harga barangan meningkat ketika musim perayaan.
Kerajaan sepatutnya maklum bahawa permintaan terhadap barangan akan meningkat ketika musim perayaan. Oleh itu, kerajaan boleh merangka strategi bagi menampung permintaan ini. Ia boleh dilakukan dengan membuka lebih banyak permit import bagi barang keperluan ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pernah adakan sistem amaran jika sesuatu barangan mengalami kekurangan bekalan di pasaran. Apabila ia berlaku, lebih banyak permit import dikeluarkan.
Apabila barangan keperluan mencukupi, pengguna perlu menggunakan kuasa mereka. Jika ada peniaga menjual barangan dengan harga lebih tinggi daripada kebiasaan, jangan beli dari kedai itu.
Bagaimana dengan kekurangan gula berlarutan lebih enam bulan lalu.
Ini yang menimbulkan kemusykilan kepada pengguna. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyatakan bekalan gula mencukupi, tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendakwa bekalan tidak mencukupi.
Pelbagai alasan diberikan seperti sistem pengangkutan pengedaran gula kurang berkesan, kegiatan menyorok dan menyeludup bekalan gula. Walau apapun alasan diberikan, pengguna menghadapi kesukaran mendapat bekalan gula.
Kenapa masalah ini lambat diselesaikan.
Pada pandangan saya, keadaan ini berlaku disebabkan sistem yang diamalkan sekarang membolehkan monopoli. Ia bukan saja membabitkan gula, tetapi komoditi lain seperti tepung dan beras.
Kerajaan juga gagal memberikan tekanan kuat terhadap pengeluar kerana kerajaan perlu memastikan perdagangan dalam negara terus berkembang.
Inilah konflik dihadapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana secara serentak perlu menjaga kepentingan pengguna dan sektor perniagaan. Mungkin untuk mengelakkan konflik begini berterusan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu dipisahkan.
Fomca mendesak supaya Jabatan Hal Ehwal Pengguna ditubuhkan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya kepentingan pengguna akan lebih kuat.
Selain itu, kawalan harga gula hanya berlaku pada peringkat peruncitan. Ia yang menyebabkan ada peniaga mendakwa pemborong menjual gula melebihi harga ditetapkan seperti RM1.70 sekilogram. Ini akan menimbulkan dilema kepada peniaga runcit kerana sudah tentu terpaksa menjual pada harga lebih tinggi.
Apabila ini dilakukan mereka melakukan kesalahan. Oleh itu, cara lebih selamat ialah tidak menerima bekalan dan tidak menjual gula kepada pengguna. Apabila kawalan harga dikenakan pada peringkat pengeluar dan pemborong, keadaan begini tidak lagi boleh dilakukan.
Apakah keadaan ini berlaku akibat strategi pihak tertentu untuk menaikkan harga gula.
Memang inilah strategi sedang dirancang pihak terbabit dalam pengeluaran dan pengedaran gula. Keadaan ini berlaku apabila harga gula mentah di pasaran antarabangsa naik hingga RM1,300 satu tan. Oleh itu, pengeluar mendapati margin keuntungan berkurangan kerana harga gula kasar yang dikawal antara RM1.40 hingga RM1.45.
Oleh itu, mereka meningkatkan pengeluaran gula halus yang pada masa itu tidak dikawal. Di samping itu mereka meningkatkan penjualan kepada sektor industri yang sebelum ini mendapatkan bekalan dari negara jiran seperti Thailand. Apabila harga gula pasaran antarabangsa tinggi, mereka beralih kepada pengeluar gula tempatan pula.
Sebab itulah secara sinisnya Fomca mencadangkan supaya harga gula dinaikkan sedikit. Apabila ini dilakukan, 'secara tiba-tiba' kita mendapati bekalan gula pulih seperti biasa. Selain ‘membantu memulihkan keuntungan pengeluar’ dan mengurangkan kegiatan penyeludupan, ia dapat mengurangkan penggunaan gula.
Bagaimana dengan tindakan kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini.
Langkah kerajaan untuk meliberalisasikan pasaran gula mungkin dapat membantu meningkatkan bekalan gula. Ia bertujuan memecahkan monopoli dari segi pengeluaran dan pengedaran gula yang berlaku pada masa ini. Kerajaan juga perlu memberi lesen kepada lebih banyak pengusaha ingin mengeluarkan gula di negara ini. Oleh itu, bekalan gula tempatan bukan saja mencukupi, malah boleh dieksport. Industri membekalkan pengeluaran gula perlu digalakkan seperti penanaman tebu secara besar-besaran. Oleh itu, pengeluar boleh mendapatkan bekalan daripada penanam tebu tempatan dan tidak lagi mengimport bekalan gula mentah.
Saudara ada mencadangkan supaya monopoli gula ini dipecahkan, boleh ulas.
Pengeluaran gula ketika ini dikuasai empat kilang gula, iaitu Malayan Sugar Manufacturing, Kilang Gula Felda Perlis, Gula Padang Terap dan Central Sugar Refinery. Daripada empat kilang ini, ia dikuasai oleh dua syarikat utama, iaitu Malayan Sugar Manufacturing dan Kilang Gula Felda Perlis dikawal oleh Perlis Plantations Berhad (PPB), manakala Gula Padang Terap dan Central Sugar Refinery oleh Tradewinds Corporation Berhad.
Sudah tentu apabila wujud pasaran bersifat monopoli oleh pengeluar tertentu, mereka boleh membuat pakatan untuk menentukan bekalan dan harga. Apatah lagi kerajaan tidak boleh mengenakan tekanan keterlaluan kepada pengeluar.
Lantaran itu, pengeluar boleh membuat pelbagai pilihan untuk meningkatkan margin keuntungan seperti menjual kepada sektor industri, meningkatkan jumlah eksport atau mengeluarkan barangan yang bukan di bawah barangan kawalan.
Ini dilakukan dengan mengeluarkan lebih banyak gula halus (sebelum dijadikan barang kawalan) atau mewujudkan gula yang diperkayakan kandungannya yang membolehkan ia tidak lagi terletak di bawah barangan kawalan.
- Info: Manipulasi harga
Peniaga cuba memanipulasi harga bagi mendapat keuntungan lebih tinggi.
Apabila kerajaan menetapkan harga siling beberapa barang keperluan harian, peniaga meletakkan harga pada paras siling, sedangkan sebelum ini harga barang itu lebih rendah.
Pengguna merungut kenaikan harga berlaku setiap kali skim kawalan harga dilaksanakan.
Orang tengah banyak menentukan harga sesuatu barangan. Peranan mereka perlu dikurangkan atau dihapuskan terus.
Dulu apabila pasar tani menjadi medan untuk petani memasarkan tanaman secara langsung kepada pengguna. Sekarang, orang tengah pula mengambil alih. Sebab itu harga di pasar tani pun tinggi.
Labels: Raya
posted by Abu71 @ 23:52,