Ramadan al-Mubarak
23 September 2006
RAMADAN dinanti-nantikan seluruh umat Islam bermula esok. Bulan yang menjanjikan ganjaran pahala berganda dan penghapusan dosa kepada mereka yang bertaubat serta menghidupkan siang dan malam dengan melakukan ibadat. Sebagai umat Islam, kita seharusnya memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana berpeluang memasuki sekali lagi gerbang bulan mulia ini. Kesempatan ini menandakan Tuhan masih memberi ruang sebesar-besarnya kepada kita membuat amal kebajikan dan menuai pahala sebanyak mungkin. Sepanjang Ramadan, kebajikan terbuka luas, pintu syurga dibuka dan pintu neraka tertutup rapat, manakala syaitan dirantai dan digari. Beruntungnya kepada mereka yang bijak mempergunakan kesempatan ini sebaik-baiknya; menyempurnakan Rukun Islam keempat iaitu berpuasa, bersahur, menghindarkan diri daripada melakukan perkara membatalkan puasa, berzikir dan bersalawat, membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat tarawih serta pelbagai amalan yang bukan saja mendekatkan kita dengan Yang Maha Pencipta tetapi mengeratkan silaturahim sesama ummah.
Selaras dengan seruan kerajaan menganjurkan segenap lapisan rakyat berjimat cermat dan berhemat dalam perbelanjaan seharian, Ramadan adalah masa paling sesuai dijadikan bulan latihan untuk mengamalkan berbelanja secara bijak. Memang malang jika umat Islam berbelanja besar untuk juadah berbuka sehingga ada ketikanya timbul pembaziran. Kita seharusnya memanfaatkan Ramadan dengan sebaik-baiknya sebagai wadah melatih hidup secara sederhana. Kesederhanaan adalah cara hidup yang amat dianjurkan Islam. Ia antara hikmah terpenting Allah mewajibkan setiap Muslim berpuasa Ramadan dengan matlamat melahirkan insan bertakwa yang bebas daripada belenggu hawa nafsu dalam pelbagai aspek kehidupan. Justeru, ketika meraikan ketibaan Ramadan, marilah kita bersama-sama menghayati sejarah kegemilangan tamadun Islam, kekuatan tentera Islam berperang ketika berpuasa, tanpa sedikit pun melunturkan iman mereka. Ramadan seharusnya menjadi titik tolak untuk kita bertambah kuat dan bersatu mempertahankan agama Islam kerana sejarah membuktikan, banyak kegemilangan Islam dicatatkan dalam bulan ini. Selain menambah amal ibadat, umat Islam juga perlu insaf dan bersimpati dengan nasib rakan seagama di negara lain yang terus menderita dibelenggu kancah peperangan, kekurangan makanan dan malapetaka. Mudah-mudahan pada Ramadan ini, umat Islam diberikan kekuatan dan keredaan Allah untuk menghadapi segala cabaran bagi mempertahan dan menjulang nama Islam di persada dunia.
Umat Islam menjalani ibadat puasa dengan tertib dan ikhlas dijanjikan menikmati pelbagai hikmah. Dari segi biologi, puasa membina kesihatan. Dengan mengatur amalan pemakanan dan tidak terlalu banyak makan, makanan dapat dicernakan dengan lebih baik dan perut yang menjadi sumber perkembangan penyakit ada ruang untuk berehat. Dari sudut psikologi, menerusi puasa, jiwa dan hati akan dibersihkan daripada penyakit hati seperti hasad dengki, iri hati, sombong, takbur, kedekut dan riak. Kita diberi pilihan sama ada hendak merebut peluang keemasan itu atau mensia-siakannya, menebalkan keimanan dan menambah pahala atau terus melakukan perbuatan mungkar, biarpun kecil. Hendaknya, Ramadan kali ini memberi keinsafan kepada kita semua. Selamat menjalani ibadat puasa dan selamat menghayati dan merasai keberkatan Ramadan al-Mubarak.
Labels: Renungan
posted by Abu71 @ 15:24,